Header Ads

ads header

Flash News

Sulaiman dipaksa tandatangan surat letak jawatan?


Umno Melaka akan mempertahankan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri Melaka sehingga habis tempoh jawatannya, selain menafikan beliau dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan, kata Timbalan Ketua Umno negeri, Ali Mohamad.

Katanya, khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan itu disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.

Katanya, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, akan terus memegang jawatan sebagai ketua menteri sehingga tamat penggal, seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.

“Pucuk pimpinan tertinggi Umno dan lima ketua Umno bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah, telah setuju menjadikan Sulaiman sebagai ketua menteri.

“Kami berharap Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis tempoh jawatannya iaitu selama lima tahun,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau yang juga ADUN Sungai Udang itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu yang berakhir lewat malam tadi.

Semalam, terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Dalam pada itu, Ali yang juga timbalan speaker Dewan Negara, berkata Umno Melaka akan terus menyokong dan mempertahankan Sulaiman daripada diganggu pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

“Saya berharap mulai hari ini, tidak akan timbul lagi desas-desus yang mengatakan ada orang akan menggantikan Sulaiman seperti mana yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13, di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, pada 21 Nov tahun lalu, selepas Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai ketua menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan, pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik ketua menteri Melaka ke-11, pada 11 Mei 2018. HM





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan