Header Ads

ads header

Flash News

“Saya beraya sebagai galendangan tahun ini..”


“Saya beraya sebagai galendangan tahun ini..” Aidilfitri tahun ini bagi Mohd Farid Razali, 34, meninggalkan kesan tersendiri apabila buat pertama kalinya beliau menyambutnya sebagai gelandangan.

Mohd Farid yang berasal dari Muar, Johor, tiba ke Kuala Lumpur sekitar November tahun lalu dengan harapan mencari pekerjaan tetap selepas setahun berkahwin.

Ketika tiba di ibu negara, Mohd Farid bekerja di kedai mencuci kenderaan, sebelum wabak COVID-19 menyerang negara dan memaksa kerajaan mengisytihar pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang ketika itu menetap di Cheras, hilang pekerjaan dan tidak lagi mampu membayar sewa rumah hingga akhirnya ditendang keluar daripada rumah itu, dan terpaksa menjadi gelandangan sejak April lalu.

“Waktu itu saya sudah tidak tahu apa nak buat kerana saya tiada kenalan atau keluarga di Kuala Lumpur, hingga terpaksa tidur di tepi jalan di Kota Raya.

“Selepas dua hari menjadi gelandangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang dan membawa saya ke Pusat Komuniti Sentul Perdana untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan ditempatkan secara sementara di sini,” katanya ketika ditemui BH di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

"Saya beraya sebagai galendangan tahun ini.."

Mohd Anwar Shah Abdullah ketika mengemas pakaian ketika tinjauan gelandangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Mohd Farid mengakui rindu isteri dan keluarganya dan tidak menyangka akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sebagai gelandangan, namun menganggapnya sebagai satu pengalaman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya.

“Sudah tentu saya sedih dan rindu untuk bersalaman dan memohon maaf pada keluarga pada Aidilfitri seperti sebelum ini, namun hakikatnya orang lain, sama ada gelandangan atau tidak, juga tidak dapat pulang beraya ketika ini,” katanya.

Tuah kini menyebelahi Mohd Farid yang mendapat pekerjaan baharu di Tanjung Malim, Perak selepas menghadiri temu duga pekerjaan yang diatur Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) minggu lalu, dan akan mula bekerja Selasa ini.

“Saya tidak sabar untuk memulakan hidup baharu di Tanjung Malim dan selepas PKP berakhir, saya mahu membawa isteri tinggal bersama saya di sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Anwar Shah Abdullah, 50, bakal menyambut Aidilfitri sebagai gelandangan di ibu negara untuk tahun kelima berturut-turut.

Beliau mengaku kurang merasai kemeriahan Aidilfitiri tahun ini kerana tidak dapat menyambutnya bersama rakan-rakan rapatnya, namun tetap teruja untuk meraikan hari mulia itu bersama kira-kira lebih 100 gelandangan lain yang masih berada di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

“Kebiasaannya, saya dan rakan-rakan akan beraya di sekitar Chow Kit atau di mana-mana kawasan lain dan NGO akan bersama memberi makan. Tahun ini kurang meriah tapi saya tidak kisah, asalkan gembira,” katanya yang tidak memiliki ahli keluarga.

Mohd Anwar Shah juga mendapat tuah di sebalik PKP apabila turut mendapat pekerjaan baharu sebagai operator kilang dengan gaji RM1,400 sebulan bermula Selasa ini, selepas menghadiri temuduga yang diatur KWP.

Seorang lagi gelandangan, Rozy Mat Akhir, 43, pula mengakui tidak janggal untuk meraikan Aidilfitri di Pusat Komuniti Sentul Perdana tahun ini kerana sudah tiga kali menyambut Hari Raya sebagai gelandangan.

“Saya mula menjadi gelandangan pada 2016, namun dalam tempoh empat tahun ini, ada masanya saya tidak bergelandangan, terutama jika saya bekerja dan majikan menyediakan asrama.

“Namun, apabila rasa tidak selesa dan rakan tidak sekepala, saya ambil keputusan untuk berpindah tempat kerja dan dalam tempoh itu, ada kalanya saya terpaksa bergelandangan beberapa kali.

“Baru-baru ini, saya ada juga mencari bilik sewa namun harganya terlalu mahal, jadi saya memutuskan untuk tidur di bawah jambatan atau di masjid sekitar ibu negara,” katanya yang mengambil upah mengangkat barang sebelum pelaksanaan PKP.

Rozy kini berazam untuk mendapat pekerjaan tetap dan berharap temuduganya bersama agensi pekerjaan baru-baru ini, akan membuahkan hasil.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan