PUTRAJAYA: Umat Islam bermusafir di negara yang berpuasa lewat sehari tetapi kemudian tiba di negara yang sudah pun tamat Ramadan diwajibkan ganti lagi bagi mencukupkan 29 hari.
Demikian pandangan tokoh agamawan
terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai menjawab
kemusykilan ramai pihak berhubung senario tempoh puasa Ramadan bagi
musafir.
“Jika berada di negara yang memulakan
Ramadan lambat sehari namun bermusafir di negara yang sudah berpuasa
awal, maka wajib dia menyambut Aidilfitri bersama-sama penduduknya.
“Kemudian dia perlulah qada selama
sehari setelah tamatnya Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana bulan Islam
tidak akan kurang 29 hari,” jelas beliau menerusi laman sosial rasminya.
Meskipun tidak menyatakan secara
spesifik, pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu seperti merujuk
hantaran tular mengenai sambutan Aidilfitri di negara tertentu yang awal
sehari.
Antaranya tangkap layar memo
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang memaklumkan tarikh 1 Syawal
di Britain sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa di negara tersebut pada
2 Mei.
Umat Islam di Britain bagaimanapun
mula berpuasa awal pada 2 April lalu dan hari ini mereka sudah pun
menyempurnakan genap 30 hari Ramadan untuk perayaan Aidilfitri
keesokannya.
Ada beberapa lagi negara yang telah
bermula 1 Ramadan pada 1 April lepas dan menyambut Hari Raya Puasa pada
hari ini kerana perbezaan situasi penampakan hilal atau anak bulan.
Mengulas lebih lanjut, Zulkifli
berkata, musafir berada di negara lewat berpuasa sehari tetapi selepas
itu pergi ke negara yang tamat Ramadan, akan menyebabkan dia berpuasa 28
hari.
“Justeru, dia hendaklah qada atau
ganti baki sehari puasa jika sudah berpuasa Ramadan 28 hari kerana dalam
takwim Hijrah, setiap bulan tidak akan kurang daripada 29 hari,”
jelasnya.
Bagaimanapun hukum keadaan itu
ujarnya berdasarkan pandangan ulama terkenal al-Khatib al-Syarbini
adalah berbeza sekiranya musafir tersebut sudah pun berpuasa sebanyak 29
hari.
Sehubungan itu tambah beliau,
individu berkenaan tidak wajib ke atasnya untuk qada kerana dia telah
lengkap menepati bilangan minimum hari dalam bulan Islam iaitu 29 hari
sahaja.
Hujah tersebut turut disokong seorang
lagi ulama, Syeikh Abdul Aziz Baz apabila ditanya isu berkenaan bahawa
musafir itu perlu berpuasa atau berhari raya mengikut negara dia berada.
Malahan, jika puasanya belum cukup 29
hari namun tempat tersebut sudah meraikan Aidilfitri, dia tetapi boleh
menyambut hari raya dan kemudian diganti sehari lagi selepas perayaan
itu.
“Kaedah ini menurut qaul (pendapat)
muktamad ulama mazhab Syafie berdasarkan antaranya Imam al-Nawawi, Imam
Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli,” kata Zulkifli. – UTUSAN
Apa-apa yang tersiar didalam blog ini adalah pendapat penulis/pengirim dan tidak semestinya mewakili pandangan dan pemdapat kami pengendali blog ini.Kami tidak bertanggungjawab atas apa-apa tulisan dan komen penulisa/pembaca. Semuanya adalah pandangan peribadi penulis/pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami pengendali blog ini.
Tiada ulasan