Jumpa saya dulu, ugut-ugut ini tak jalan – Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Penganjur kepada perhimpunan aman veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan berlangsung pada 6 Jun ini diminta supaya bertemu dengan pihak Kementerian Pertahanan terlebih dahulu.
Ini kerana, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan, tuntutan yang dibuat oleh pihak penganjur bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia adalah sesuatu yang sedang diusahakan ketika ini.
Malah, beliau menegaskan bahawa kebajikan veteran tentera akan terus diberikan keutamaan, terutamanya apabila Persatuan Veteran ATM (PVATM) akan menyambut ulang tahun ke-100.
“Sebelum ini, kita ada agenda perumahan, kesihatan dan pendidikan, kita tidak pernah lupa veteran. Amalan kita dari dulu lagi merupakan sikap terbuka, jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan atau pandangan atau keinginan, datang kepada kami, cakap.
“Jangan kita gembar-gemburkan sesuatu tetapi saya tidak boleh sekat mereka, kalau mereka nak buat apa mereka nak buat, buat tetapi fikir baik-baik. Dah bincang dengan kita dulu ke apa yang diinginkan supaya yang penting, pembelaan kepada veteran,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan majlis menandatangani perjanjian jual beli rumah SASaR di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, katanya, veteran tentera juga mempunyai peranan penting dalam menjaga kebajikan, tetapi bukan dengan cara mengugut mana-mana pihak.
“Bagi saya sebagai Menteri Pertahanan, yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung dengan mereka yang betul-betul ikhlas membela kebajikan veteran dan tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan.
“Kalau sekiranya hujah itu dibawa kepada saya secara bersemuka. Ugut-ugut ini semua tak jalan,” katanya.
Minggu lalu, dianggarkan 5,000 veteran ATM akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun ini secara serentak di semua negeri bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.
Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain berkata, terdapat empat tuntutan yang diperjuangkan sejak 2014.
Pertama, memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksanakan penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2004 dan 2013 mengikut Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera dan peraturan-peraturan pencen serta faedah-faedah lain di bawahnya.
Kedua, memohon MAT memberi pertimbangan supaya anggota tentera diberi hak yang sama seperti penjawat awam lain iaitu diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan.
Ketiga, memohon MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan dengan meringankan hukuman segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan pegawai atasan bagi mereka yang layak.
Keempat, memohon MAT mengkaji semula veteran yang cedera ketika perang, semasa bertugas atau cedera disebabkan tugas berat semasa perkhidmatan diberi rawatan di Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU) dan ‘Layan Sentiasa’ seperti yang diberi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans selain insurans kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera. – UTUSAN
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Berita baguss
BalasPadam