Berani Semuka medan perbincangan, bukan debat ideologi: Anwar
PETALING JAYA - Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ antara dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli tidak boleh dianggap sebagai debat kerana mereka mendukung ideologi parti yang sama.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentas tersebut perlu menjadi medan perbincangan antara kedua-dua calon parti berkenaan demi kebaikan bersama.
"Istilah debat ini lebih sesuai digunakan untuk program antara saya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti kerana kami mempunyai pola pemikiran dan dasar berbeza.
"Tapi dalam konteks ini (program Berani Semuka) yang diadakan di antara dua calon dalam parti sama, ia lebih kepada perbincangan tentang penekanan dan strategi baharu yang akan digunakan dalam satu wadah.
"Oleh yang demikian, Sinar Harian dan Astro Awani harus melihat langkah-langkah (format penganjuran program Berani Semuka) tapi yang lebih penting ialah calon mesti membaca semula tata kelola yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPP)."
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersama Presiden PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan para calon yang terlibat dalam pemilihan PKR 2022 untuk membaca tata kelola yang dikeluarkan oleh JPP.
Selain itu, beliau mengesyorkan supaya calon menjaga suasana persahabatan persaingan, tidak terpanggil oleh mana-mana pihak yang sengaja mengapi-apikan keadaan seolah-olah pemilihan tersebut satu pertarungan antara sesama calon parti.
"JPP menetapkan tata kelola, yang mana semua acara termasuk perbincangan antara calon-calon mesti mematuhi peraturan tersebut.
"Perbincangan juga mesti diadakan dalam suasana persahabatan, mengelakkan dari meningkatkan 'suhu' panas yang lebih tajam.
"Jadi saya minta semua calon bukan sahaja calon Timbalan Presiden, tapi calon di peringkat Cabang supaya membaca tata kelola itu. Jika calon gagal mengikuti peraturan tersebut, JPP akan cadangkan tindakan untuk diambil," katanya.
Pada Khamis, peminat politik tanah air dan pengikut PKR akan berpeluang mengikuti debat secara langsung antara dua calon Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli pada 11 Mei ini dari Studio F, Sinar Harian jam 3 petang.
Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman dalam satu kenyataan berkata, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.
Ia akan disiarkan di semua platform Sinar Harian secara langsung.
Kata Rozaid, ‘perdebatan’ antara dua pemimpin masa depan PKR ini bertepatan dengan masanya memandangkan pemilihan jawatan PKR pada tahun ini akan dilihat sebagai petunjuk kepada siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan parti itu daripada Anwar.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan