Header Ads

ads header

Flash News

Apakah perlantikan Tajuddin adalah “pelantikan kroni”?


PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen Umno berharap Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai duta besar ke Indonesia tidak mencetuskan sebarang keadaan yang boleh mengeruhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta.

Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif berkata, kontroversi membabitkan insiden memalukan ketika sidang media Prasarana pada Mei tahun lalu harus dijadikan iktibar oleh ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Kita tidak boleh menghukum kalau kesilapan dah berlaku, tetapi itu mungkin iktibar kepada beliau (belajar) untuk perbaiki hubungan (dua hala)…dan tidak melakukan apa-apa yang boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam hubungan KL-Jakarta,” katanya kepada FMT.

Kelmarin Tajuddin mengesahkan beliau dilantik sebagai duta besar ke Indonesia bagi mengisi jawatan yang kosong sejak Zainal Abidin Bakar bersara pada 4 April 2021.

Ahli Parlimen kontroversi itu disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lepas hanya beberapa hari selepas sidang medianya mendapat kecaman susulan insiden pelanggaran dua tren LRT.

Susulan itu pelantikan terbaru ini mencetuskan kritikan ahli Parlimen pembangkang dan bekas diplomat.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkannya sebagai “pelantikan kroni”, selain mempertikai kelayakannya untuk jawatan diplomat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah pula berpendapat, Tajuddin perlu melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kerana adalah tidak bertanggungjawab sekiranya beliau mengabaikan amanahnya terhadap pengundi.

Bagaimanapun Salim berpendapat pelantikan Tajuddin perlu dihormati semua pihak memandangkan ia sudah dipersetujui dan dinilai oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau dia tak bagus esok, ada yang lebih (baik) boleh tukar. Bukanlah (Tajuddin menjadi duta besar ke Indonesia) selama-lamanya…tidak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata, semua pihak tidak seharusnya prejudis terhadap pelantikan Tajuddin itu.

“Jangan meramal perkara yang belum berlaku…jangan prejudis. Tajuddin mampu rapatkan hubungan dua hala KL-Jakarta. Beliau sudah terbukti diterima oleh penduduk di Pasir Salak selama beberapa penggal.

“Pengundi Pasir Salak memilih beliau selama berpenggal-penggal, ini buktinya beliau mampu ambil hati sesiapa sahaja,” katanya kepada FMT.

Tajuddin menjadi ahli Parlimen Pasir Salak sejak Mac 2008 hingga kini.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan