Umno masih dominan dalam kabinet - Shahidan
Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim dilihat mempunyai pandangan tersendiri mengenai pembabitan pemimpin parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta hubungan mereka dengan Bersatu.
Ditemui media selepas majlis perasmian Persidangan Tahunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Kuala Lumpur hari ini Shahidan ditanya mengenai peranan pemimpin parti itu ketika ini.
Anggota parlimen Arau itu berkata kedudukan Umno dalam kerajaan PN sebenarnya lebih besar berbanding parti lain.
“Itu pandangan daripada timbalan presiden, tapi kedudukan sekarang adalah Umno ada sembilan menteri, hampir 20 timbalan menteri - lebih besar daripada Bersatu, lebih besar daripada PAS, lebih besar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"PAS ada tiga (menteri), GPS ada tiga, Bersatu ada lapan, BN (termasuk Umno) ada 11," katanya.
Justeru kata Shahidan tafsiran mengenai kedudukan Umno dominan atau tidak dalam kerajaan PN perlu dibincangkan dengan lebih teliti.
Bagaimanapun untuk rekod, kedudukan semasa kabinet Muhyiddin Yassin menyaksikan Bersatu sebenarnya mempunyai 11 orang menteri.
Di sebalik keputusan MT Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada pilihan raya umum kelak, Umno Perlis - dan Sabah - sebaliknya menyatakan rancangan mereka untuk mengekalkan hubungan tersebut.
Hal itu dinyatakan sendiri oleh Shahidan sebelum ini.
Terdahulu semasa menyampaikan ucapan perasmian Mohamad menekankan isu kerjasama Umno dengan Bersatu dan menganggap peranan parti terbabit "sangat terpencil dan tidak dominan".
"Kita lebih duduk tunduk daripada bangun menjadi induk. Ditambah pula dengan pendirian jelas Umno untuk tidak menyertai parti PN sejak awal dahulu," kata Mohamad.
Menurut Shahidan, pada masa sama Umno Perlis memang akan mengikut ketetapan dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana pihak yang mengingkarinya akan dikenakan tindakan.
“Kalau kita tak ikut (arahan) kita diambil tindakan. Umno ambil tindakan kepada orang yang tak ikut arahan MT," katanya.
Pada masa sama Shahidan yang awal bulan ini dilantik kerajaan PN sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkata isu hubungan dengan Bersatu tidak wajar dibincangkan segera.
“Buat masa sekarang semua orang ikut, sebab keputusan tak bekerjasama dengan parti itu untuk pilihan raya, lambat lagi... dua tahun lagi.
“Kenapa benda yang lambat lagi dibincang seolah-olah (PRU) berlaku esok? Ini (putus hubungan dengan Bersatu) semasa pilihan raya, bukan sekarang," katanya.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan