Header Ads

ads header

Flash News

PAU: Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mengugut Dan Mengarah Para Perwakilan Supaya Membuat Sesuatu Keputusan Besar?


Saya telah menyemak sebiji-sebiji versi teks bertulis dan versi lisan sebenar Ucapan Dasar Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, PWTC, pada pagi tadi.

Adalah didapati bahawa versi lisan sebenar ucapan dasar ini banyak mengandungi sebutan spontan perkara tertentu sebagai tambahan kepada teks bertulis, antaranya adalah empat perenggan tambahan berikut:

21A. Kalau ada di kalangan yang di atas pentas ini atau yang berada di luar menyanggah keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi dan insya Allah akan dibentangkan dalam usul bila perbahasan yang akan dimulakan sebentar lagi, jika mereka menyanggah keputusan parti saya serahkan kepada perwakilan untuk mengambil tindakan kepada orang yang berkenaan.

26A. Malah Timbalan Speaker yang berada di sini yang lebih jantan daripada jantan keberaniannya, kalau Parlimen tidak boleh bersidang, pasar malam boleh dibuka, mall boleh dibuka, tempat lain boleh dibuka, sekolah boleh dibuka, secara sinis beliau mencadangkan kalau Parlimen sangat-sangat bahaya kita boleh bersidang di sekolah.

33A. Saya tidak mahu memanaskan suasana, tapi saya tahu para perwakilan yang berada di dewan ini dan di dewan-dewan yang berhampiran sebelah-menyebelah serta para perwakilan di seluruh negara, 190 Bahagian, yang sedang melihat persidangan kita bersetuju bahawa ini adalah keputusan besar parti.

36A. Kita tak tahu bila PRU-15. Pada pandangan kita mungkin hingga 2023 kerana mereka telah cukup bilangan Ahli-Ahli Parlimennya. Kita mesti lakukan sesuatu. Saya serahkan kepada para perwakilan untuk membuat sesuatu keputusan besar. Inilah dewan keramat untuk para perwakilan membuat keputusan, sama ada kita dan secara maya.

Perenggan tambahan 21A khususnya adalah satu pernyataan yang cukup menarik kerana ia menggambarkan ugutan beliau bahawa Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dan para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang menyanggah keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi boleh dikenakan tindakan disiplin.

Perenggan tambahan 36A juga adalah satu pernyataan yang lebih mengejutkan kerana, seperti yang telah saya tanya sebelum ini:

(1) Tidak dijelaskan siapakah "mereka" yang dikatakan “telah cukup bilangan Ahli-Ahli Parlimennya” yang dimaksudkan oleh beliau dalam ucapan beliau ini?

(2) Jika "mereka" yang dikatakan “telah cukup bilangan Ahli-Ahli Parlimennya” ini merujuk kepada Kerajaan Perikatan Nasional maka ia adalah agak ganjil kerana tidakkah UMNO juga sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional?

(3) Tidak dijelaskan apakah yang beliau maksudkan dengan “kita mesti lakukan sesuatu” dan dengan “sesuatu keputusan besar” yang terkandung di dalam ayat “saya serahkan kepada para perwakilan untuk membuat sesuatu keputusan besar”.

(4) Apakah yang beliau maksudkan adalah supaya para perwakilan membuat keputusan besar bagi menarik UMNO keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional sekarang juga atau dalam tempoh yang terdekat bagi memaksa PRU-15 dilangsungkan segera?

(5) Jika para perwakilan menolak saranan beliau dan tidak membuat keputusan besar bagi menarik UMNO keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional sekarang juga atau dalam tempoh yang terdekat apakah mungkin beliau akan meletakkan jawatan?

Pada sudut yang lain, inilah kali pertama saya mendengar pernyataan yang terkandung di dalam perenggan 22, yang sekali gus memerlukan pembuktian, iaitu bahawa apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 Majlis Tertinggi UMNO waktu itu telah memberikan persetujuan bersyarat kepadanya, iaitu bahawa “Parlimen hendaklah dibubarkan pada bulan Januari 2021 dan PRU hendaklah diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021, iaitu pada bulan Mac ini”.

Saya juga mengharapkan ijtihad atau “reasoning” UMNO memutuskan hubungan dengan BERSATU yang dikatakan adalah selari dengan tuntutan kaedah fiqh yang bersandarkan kepada mafhum Hadith Sahih yang berbunyi “Tidak boleh dimudaratkan dan tidak boleh memudaratkan orang lain” dapat diberikan hujahan dan penjelasan yang lebih terperinci seumpama pembuktian bahawa BERSATU dan Kerajaan Perikatan Nasional (yang UMNO adalah sebahagian daripadanya) telah memudaratkan rakyat dan negara ini.

SEDUTAN VERSI LISAN SEBENAR (SECARA VERBATIM) UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO, DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI, DI DALAM PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020

20. Begitu juga dalam isu kerjasama dengan BERSATU. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Tertinggi daripada awal pembentukan kerajaan dalam Perikatan Nasional ada tempoh jeda waktunya. Ini adalah keputusan besar parti. Kita tidak boleh berganjak.

21. Walau ada orang yang mengatakan saya menggunakan kuasa veto bila membuat keputusan Majlis Tertinggi, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto. Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai‟e atau collective. Ini adalah keputusan Majlis Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad.

21A. Kalau ada di kalangan yang di atas pentas ini atau yang berada di luar menyanggah keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi dan insya Allah akan dibentangkan dalam usul bila perbahasan yang akan dimulakan sebentar lagi, jika mereka menyanggah keputusan parti saya serahkan kepada perwakilan untuk mengambil tindakan kepada orang yang berkenaan.

Sidang perwakilan sekalian,

22. Sebenarnya, tuntutan UMNO secara jelas, tuntutan UMNO sebaik sahaja runtuhnya kerajaan PH, Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN mahu PRU diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Bagaimanapun, takdir Allah telah menentukan bahawa semua rakyat di negara ini telah dilemparkan dengan ketakutan terhadap penularan pandemik Covid-19, bukan sahaja melanda negara kita tetapi di seluruh dunia dan tentunya ia menghalang apa yang sepatutnya telah kita jalankan. Sehubungan dengan itu, apabila keruntuhan Kerajaan PH yang lalu secara sendiri, kita dengan husnul zhan dengan berbaik sangka telah bersetuju bahawa jawatan Perdana Menteri diberikan kepada seorang pemimpin kepada parti yang bilangan Ahli Parlimennya paling kecil, dengan syarat ketika itu, Majlis Tertinggi telah memutuskan Parlimen hendaklah dibubarkan pada bulan Januari 2021 dan PRU hendaklah diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021, iaitu pada bulan Mac ini. Itu keputusan yang telah kita buat.

23. Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat berubah kepada proklamasi darurat. Proklamasi darurat dibuat atas alasan untuk memerangi Covid-19 sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu disembunyikan kerana ada udang di sebalik batu.

24. Ahli-ahli UMNO dan kita semua rakyat menjunjung kasih ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atas titah menolak cadangan proklamasi darurat apabila pertama kali dipersembahkan kepada Baginda-Baginda. Keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang sentiasa mencemar duli bermusyawarah untuk menentukan tindakan
terbaik bagi masa depan rakyat dan negara amat UMNO dan rakyat sanjungi.

25. UMNO turut menjunjung taat setia kepada titah proklamasi darurat oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan keputusan Jemaah Menteri. Dan kita juga menjunjung kasih atas titah perkenan Tuanku untuk Parlimen bersidang.

26. Namun, ada yang lebih sudu dari kuah. Mereka memberi pelbagai alasan supaya persidangan Parlimen tidak diadakan. Sedangkan Parlimen itu teras demokrasi negara. Rakyat amat berharap dengan adanya vaksinasi yang sedang dilaksanakan, Parlimen harus bersidang dan PRU-15 jangan ditangguhkan.

26A. Malah Timbalan Speaker yang berada di sini yang lebih jantan daripada jantan keberaniannya, kalau Parlimen tidak boleh bersidang, pasar malam boleh dibuka, mall boleh dibuka, tempat lain boleh dibuka, sekolah boleh dibuka, secara sinis beliau mencadangkan kalau Parlimen sangat-sangat bahaya kita boleh bersidang di sekolah.

Sidang perwakilan,

27. Oleh kerana itu, saya dan sidang perwakilan tentu memahami bahawa realiti politik hari ini memerlukan UMNO melakukan penjajaran penyesuaian politik baharu untuk meneruskan matlamat penubuhannya. Semalam Timbalan Presiden menyebut tentang “political correctness”, “pembetulan politik”. Apa pun istilah yang akan digunakan, kewajaran dan kematangan saf kepimpinan UMNO untuk menolak kerjasama dengan BERSATU adalah muktamad. Dan kita akan lakukan keabsahannya dalam Perhimpunan Agung kali ini dan kita minta para perwakilan dalam dewan dan luar dewan bersama bersetuju. Sebab apa kita mengambil tindakan itu? Kerana ketidakjujuran dan muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap kita.

29. Ingin saya tegaskan buat kesekian kalinya, dukungan kita terhadap pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional adalah demi rakyat. Kerana sebelum ini parti sebelum itu, PH, menzalimi rakyat. Mereka gagal melaksanakan manifesto yang akhirnya mereka akui ia bukan kitab suci. Malah janji 100 hari pertama pun semuanya ke laut!

30. UMNO juga berpendirian tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional. Kita tidak akan masuk Perikatan Nasional sebagai parti. Sidang perwakilan, keputusan itu adalah muktamad dan harus diletakkan noktah. Ketetapan ini bukan hanya dari Majlis Tertinggi tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang diwakili oleh tuan-tuan dan puan-puan semua. Mereka itu berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO. Betul? Kita tidak akan pernah bersekongkol dengan mana-mana yang mahu menikam kita. Kita harus letakkan bahawa UMNO menjadi keutamaan kepada kita semua.

31. Jauh lebih besar daripada itu, rakyat dan negara sedang dibawa menuju kehancuran. Rasulullah pernah menyebut, “Tidak boleh dimudaratkan dan tidak boleh memudaratkan orang lain,” ini Hadith Sahih. Dalam erti kata lain, sudahlah parti kita dimudaratkan, jangan pula rakyat dan negara ini turut dimudaratkan. Maka ijtihad atau “reasoning” kita memutuskan hubungan dengan mereka adalah selari dengan tuntutan kaedah fiqh yang bersandarkan kepada mafhum Hadith tersebut.

31. Kita sedar, malah semua ahli UMNO sedar, bahawa BERSATU tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya dan tidak mempunyai sokongan akar umbi pun. Namun hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan terhenti selagi UMNO tidak hancur.

32. Penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian. Malah kaji selidik daripada 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

33. Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya.

Sidang perwakilan,

33A. Saya tidak mahu memanaskan suasana, tapi saya tahu para perwakilan yang berada di dewan ini dan di dewan-dewan yang berhampiran sebelah-menyebelah serta para perwakilan di seluruh negara, 190 Bahagian, yang sedang melihat persidangan kita bersetuju bahawa ini adalah keputusan besar parti.

34. Rakyat perlu sentiasa disejahterakan. Sejahtera daripada ancaman luar dan dalam. Sejahtera daripada ancaman dari semua sudut, dari segi kesihatan, ekonomi dan politik. Sesungguhnya kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat berasa aman, sejahtera, cukup makan-pakai, boleh belajar dan ada tempat tinggal.

35. Kestabilan mula tergugat apabila Pakatan Harapan menyerang UMNO dan Barisan Nasional. Bukan sahaja dari sudut politik biasa, tetapi dari segenap penjuru. Media baharu dipergunakan untuk menabur lada di bibir pendiam dan menitik cuka di luka perbezaan. Akhirnya mereka berjaya menjadi juara fitnah dan membina persepsi kotor untuk dipilih menjadi pemerintah yang berpijak di lantai penuh dusta.

36. Pembohongan tidak mampu menjadikan mereka pemimpin dan pemerintah berwibawa. Alhamdulillah, rakyat cepat sedar dan ramai sedang menunggu bilakah PRU-15 untuk menghukum pendusta yang membohongi mereka.

36A. Kita tak tahu bila PRU-15. Pada pandangan kita mungkin hingga 2023 kerana mereka telah cukup bilangan Ahli-Ahli Parlimennya. Kita mesti lakukan sesuatu. Saya serahkan kepada para perwakilan untuk membuat sesuatu keputusan besar. Inilah dewan keramat untuk para perwakilan membuat keputusan, sama ada kita dan secara maya.

Kamarul Yusoff





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan