MIC pula persoal Umno, bagaimana pendirian anda lepas PRU ke-15?
Masih ada yang belum tuntas dan tidak terjawab selepas Umno menamatkan perhimpunan agung tahunan mereka semalam, kata pemimpin MIC.
Menurut presidennya SA Vigneswaran satu daripada persoalan yang masih ada ialah kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan Bersatu, DAP atau Anwar Ibrahim selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 berakhir.
Ketika dihubungi Malaysiakini Vigneswaran berkata Umno perlu menjadikan pendiriannya benar-benar jelas sama ada mereka atau BN akan bekerjasama dengan DAP, Bersatu atau Anwar.
"Anda (Ahmad Zahid Hamidi atau Umno) kata, sebelum PRU 'no Bersatu, no DAP, no Anwar' tapi bagaimana kalau selepas itu?
"Ini soalan yang mesti dijawab oleh Umno.
"Selepas PRU adakan dia akan bekerjasama dengan DAP? Bolehkah dia bekerjasama dengan Anwar? Bolehkah dia bekerjasama dengan Bersatu?
"Inilah persoalan yang belum terjawab dari perhimpunan Umno," katanya.
Sementara itu Vigneswaran juga menjelaskan status kerjasama di antara Umno dengan PAS juga kekal kabur.
"Adakah PAS akan bekerjasama dengan Umno atau adakan ia akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN)?" katanya lagi.
Tambah bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu lagi jika Umno menyatakan ia boleh bersama PAS ketika yang sama PAS kekal bersama PN bagaimana parti itu boleh meminta pihak lain agar tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PN.
Vigneswaran juga membangkitkan isu calon perdana menteri BN jika Umno memutuskan untuk bertanding secara sendirian pada PRU ke-15.
Justeru dia menggesa Umno menyelesaikan kekusutan daripada persoalan yang tidak berjawab itu lalu membuat pendirian yang jelas mengenainya.
Apa pun kata Vigneswaran Umno tidak boleh berdiam diri atau terus berteka-teki ketika keadaan ekonomi negara terus merudum.
Vigneswaran memberitahu persoalan itu turut dibangkitkan oleh perwakilan MIC dan dijangka akan dibahaskan dalam mesyuarat agung tahunan parti itu Sabtu ini.
Namun katanya keputusan muktamad mengenai pendirian MIC tidak akan dibuat dalam perhimpunan itu sebaliknya akan dimaklumkan selepas semua persoalan dibangkitkan terjawab.
Pada pandangan MIC kata Vigneswaran Umno sedang membuat keputusan berdasarkan perkiraan yang terbaik untuk parti berkenaan.
Dalam keadaan begitu katanya MIC juga akan membuat pendirian berasaskan perkiraan yang memberi keuntungan kepada mereka.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan