Krisis Umno-PPBM buka jalan kepada parti Sabah dan Sarawak jadi ‘kingmaker’, kata penganalisis
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum akan datang sebagai peluang terbaik kepada parti di Sabah dan Sarawak untuk menjadi ‘kingmaker’.
Felo kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, kurang berkemungkinan mana-mana parti atau gabungan boleh mendominasi pilihan raya sekarang kerana parti berasaskan orang Melayu kini bertelagah, sementara Pakatan Harapan (PH) lebih lemah berbanding sebelum ini.
“PH tidak mempunyai momentum seperti pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) dan tidak boleh bergantung kepada Dr Mahathir Mohamad dan PPBM untuk sokongan orang Melayu,” kata beliau.
“Umno berpecah belah dan PPBM adalah parti yang lemah. Justeru parti Sabah dan Sarawak tidak perlu mengikut rentak sesiapa.”
Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada rakan sejawatannya dalam PPBM, Muhyiddin Yassin, bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang.
Bahagian Umno dan PPBM di Sabah bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan Jeniri berkata, tidak wujud permusuhan antara pemimpin mereka.
“Jadi, saya tidak melihat pemimpin Umno dan PPBM di Sabah benar-benar menurut kepemimpinan pusat mereka,” kata beliau.
“Mereka tahu mereka memiliki kekuatan dan autonomi untuk memutuskan apakah yang terbaik untuk mereka.
“Mereka boleh bekerjasama dengan GPS dan membuat keputusan sendiri selepas PRU15 (pilihan raya umum ke-15).
“Mereka patut membentuk sebuah blok Borneo selepas pilihan raya dan memutuskan dengan siapakah mereka ingin bekerjasama bagi memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terjaga,” kata beliau.
Seorang penganalisis lain, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, kedua-dua negeri menjadi “kingmaker” dalam pilihan raya baru-baru ini, tetapi pembentukan blok Borneo akan “membawa segalanya ke tahap yang lain”.
“Dengan kemungkinan memiliki 57 kerusi di bawah sebuah blok tunggal, Sabah dan Sarawak memiliki daya tawar-menawar yang lebih kuat,” kata beliau.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan