Asyraf: Walau terluka, Umno pasrah PAS pilih bermadu
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengakui parti itu terkilan apabila PAS terus mahu bekerjasama dengan Bersatu di saat telah pun memeterai Muafakat Nasional hampir dua tahun lalu.
Mengibaratkannya seperti "bermadu", Asyraf berkata Umno sendiri tetap setia berpegang kepada jalinan hubungan menerusi MN dan tidak pernah setuju untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
"Siapa sangka belum kering deraian air mata, belum pun reda hilai tawa bersama, kasih yang baru berputik terpaksa dikongsi dengan pihak ketiga.
“Dengan rasa berat hati, kita pasrah pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap parti itu, hari ini.
MN yang dimeterai pada September 2019 menyaksikan tertubuhnya kerjasama Umno dan PAS secara rasmi setelah berseteru selama beberapa dekad.
Untuk rekod, PAS pada masa ini selain bersama Umno dalam MN, turut bersama Bersatu dalam PN.
Berhubung keretakan antara Umno dan Bersatu, parti itu berpendirian ketiga-tiga parti itu perlu terus bekerjasama untuk orang Melayu dan Islam.
Asyraf mengingatkan rakan sekutunya itu agar berpegang erat pada ikatan yang telah terjalin, dan tidak membiarkan pihak ketiga meleraikannya.
Katanya, kerjasama antara Umno dan PAS adalah "impian yang didambakan" berpuluh tahun lalu.
"Buat sahabat dan sekutu kami PAS di dalam MN. Pemuda ikhlas katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.
"Pegang eratlah ikatan MN ini seutuhnya. Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga. Kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua," katanya lagi.
Dia berharap Umno dan PAS dapat berpakat bagi menyelesaikan sebarang perselisihan antara dua parti itu.
Antara isu yang timbul adalah gesaan Umno Kelantan yang meminta PAS membuat keputusan jelas sama ada mahu bekerjasama dengan mereka atau Bersatu pada PRU15.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan