BUENOS AIRES: Diego Maradona diberi koktel dadah termasuk ubat
antikemurungan (antidepresi) dan antipsikotik yang digunakan untuk
merawat penyakit bipolar.
Ia ditemukan selepas polis melakukan serbuan di rumah doktor peribadi
legenda bola sepak Argentina itu dan hasil siasatan, kematian Maradona
minggu lalu dikhuatiri mempunyai unsur pembunuhan.
Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung yang turut
menyebabkan edema pulmonari iaitu pengumpulan cecair dalam tisu di
paru-paru.
Pakar kesihatan tidak menolak kemungkinan koktel dadah yang diambil
bekas pemain berusia 60 tahun itu memberi tekanan kepada jantungnya.
Pada Ahad lalu, susulan kenyataan yang dikeluarkan anak perempuan
Maradona, Dalma dan Giannina berkaitan penjagaan kesihatannya, polis
menyerbu rumah dan klinik milik doktor peribadi, Leopoldo Luque.
Dr. Luque bagaimanapun belum dikenakan sebarang pertuduhan dan menafikan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Antara ubatan yang diambil Maradona adalah Quetiapine yang digunakan untuk mengubati penyakit mood
seperti tekanan, skizofrenia dan penyakit bipolar serta Gabapentin yang
digunakan bagi merawat penyakit saraf berpunca daripada diabetes dan
epilepsi.
Antara ubatan lain adalah Naltrexone yang digunakan untuk merawat
ketagihan alkohol, antidepresi Venlafaxine yang kadangkala digunakan
untuk merawat serangan panik, Lurasidone untuk penyakit bipolar,
Omeprazol dan Vitamin B kompleks.
“Terlalu banyak ubat berkaitan antidepresi dan antipsikotik.
Sebilangannya seperti Quetiapine, Lurasidone dan Venlafaxine boleh
memberi kesan kepada jantung.
“Ia meningkatkan kadar denyutan jantung,” kata pakar neurologi, Nelson Castro. – AGENSI
Tiada ulasan