Anwar keluar tinggalkan Istana Negara 11.30 pagi
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, meninggalkan kawasan Istana Negara kira-kira jam 11.30 pagi dan sempat melambai ke arah media yang menunggu di pintu masuk.
Bagaimanapun dia tidak memberikan sebarang kenyataan.
Terdahulu ahli parlimen Port Dickson itu memasuki pekarangan Istana Negara 10.25 pagi.
Hari ini semua perhatian tertumpu ke arah Anwar Ibrahim yang dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika spekulasi perubahan kerajaan sekali lagi kian mengencang.
Sementara itu portal Kosmo! Online memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sebagai berkata, Anwar menghadap Agong selepas ia tertangguh sebelum ini dan tiada kaitan dengan mempersembahkan sokongan ahli parlimen.
Katanya, Anwar yang memohon untuk menghadap Agong.
“Tiada kena mengena dengan mempersembahkan sokongan ahli parlimen, tetapi jika beliau (Anwar) ingin mempersembahkan juga sokongan (ahli parlimen), boleh serahkan,” katanya semalam.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata setakat pagi tadi dia belum menerima apa-apa makluman mengenai waktu Anwar menghadap di Istana Negara.
Dia juga memaklumkan tidak tahu apakah Anwar akan mengadakan sidang media selepas itu untuk memaklumkan hasil pertemuan kepada orang ramai.
“Saya akan berikan maklumat rasmi sepantas mungkin, jika atau apabila saya terima sebarang arahan.
“Saya mohon maaf di atas perkara ini, memandangkan ia satu keadaan yang agak unik dan sensitif,” katanya dalam teks pesanan yang dikongsikan kepada media dalam kumpulan WhatsApp rasmi PKR.
Harap urusan dipermudahkan
Setakat jam 9.30 pagi tadi, kira-kira 50 petugas media dilihat menunggu di hadapan Pagar 2 Istana Negara manakala beberapa anggota polis turut dilihat berkawal di kawasan berdekatan.
Sementara itu, Istana Negara ada mengagihkan makanan kepada pihak media yang menunggu di luar.
Sejak bulan lalu, Anwar memohon untuk menghadap Agong selepas mendakwa mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Pemimpin pembangkang itu tidak memperincikan bilangan tepat jumlah sokongan dimilikinya atau identiti ahli parlimen yang menyokongnya, tetapi satu laman web tidak lama kemudian menyiarkan senarai 121 ahli parlimen dari semua parti yang dikatakan menyokongnya.
Semakan Malaysiakini mendapati senarai itu sudah tidak dapat diakses lagi dan pelbagai ahli parlimen yang dinamakan dalam senarai itu dilaporkan menjauhkan diri mereka daripada dakwaan berkenaan, atau secara terbuka menafikannya.
Setelah nama mereka timbul dalam senarai itu, beberapa wakil rakyat Umno - termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Idris Jusoh (Besut) telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan mereka dalam cubaan Anwar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, semalam mengesahkan yang polis menerima enam laporan berhubung perkara itu dan Anwar telah dipanggil untuk disoal siasat.
Bagaimanapun ia ditangguhkan ke satu tarikh lain yang tidak didedahkan, kerana Anwar dilaporkan hanya ada kelapangan jam 9 pagi hari ini.
Sementara itu, dalam satu hantaran pendek di Facebook, Anwar menyatakan harapannya agar urusan hari ini dipermudahkan.
MR : Tunggu apa komen Anwarsila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan