Luahan Penghuni Rumah Kontena: Mana Rumah Kami? Kami Manusia, Bukan Binatang
BATU SAPI, 14 Sept – Mana rumah kami… kami sudah cukup tersiksa tinggal dalam kontena, kami bukan binatang, kami bukan pendatang asing, kami adalah pengundi di Negeri Sabah… itu adalah antara luahan mangsa kebakaran rumah di Kampung Gas, Batu Sapi.
Sejak kediaman mereka terbakar pada tahun 2018, sehingga kini mereka tinggal dalam kontena iaitu penempatan sementara yang dijanjikan hanya enam bulan namun kini menjadi kediaman tetap mereka.
Bagi
Jainah Mustafa, 53, kehidupan dalam kontena terlaku siksa namun kerana
tiada pilihan mereka terpaksa telan segala keperitan.
“Terlalu siksa, kami tidak dihargai oleh kerajaan, Bayangkan keadaan kami, kami bukan pelarian, kami adalah pengundi, orang tempatan. Tolonglah bantu kami…
“Jangan pentingkan kami hanya masa undi, cari kami masa mahu undi, bila habis undi, senyap… buang kami begitu sahaja. Mana janji Warisan dulu? Warisan janji Sabah nak ubah tapi sekarang sudah dua tahun mana ada ubah apa-apa… muka pun tidak muncul, tidak tengok keadaan kami, kami bukan binatang mahu disimpan dalam kontena.
“Masa zaman UMNO dulu banyak mereka tolong kami, bila Warisan ambil alih, kami tidak dipeduli,” luah beliau dengan linangan air mata.
Farizah
Al Waris 42, mencabar pemimpin kerajaan untuk cuba tinggal di rumah
kontena ini malah dirinya yakin, mereka tidak akan sanggup untuk
bertahan walaupun sehari.
“Kalau kerajaan tidak mampu buat rumah untuk kami, buatkan kami jambatan dan kami boleh buat rumah sendiri. Kerajaan cuma beri kayu dan zink, itu sudah cukup. Bukan kami mahu rumah besar, janji kami tidak tinggal di kontena ini lagi. Selagi tidak ada jambatan kami tidak boleh buat rumah. Kami sudah sukup tersiksa, dua tahun seperti kena panggang dalam oven.
“Tengoklah keadaan kontena ini… sangat tidak selesa, sangat panas. Ini janji mereka, katanya hanya enam bulan tapi sekarang sudah lebih dua tahun. Kami bukan pendatang asing, kami rakyat Sabah. Tolonglah bantulah kami,” ujar beliau.
Seorang
lagi penghuni di rumah kontena, Amisah Baharon, 63, turut meluahkan
betapa siksanya dua tahun terpaksa menetap di dalam rumah kontena.
“Kami sudah lama bertahan, sudah lama tunggu untuk rumah. Bukan kami minta rumah besar yang sempurna. Saya sudah tua… kalau mahu pergi tandas pun jauh di sini. Wakil rakayt telah lama berjanji mahu beri rumah, tapi sekarang jenguk kami pun sudah tidak ada.
“Kalau tidak mampu beri rumah, buatkan kami jambatan, itupun sudah cukup,” ujarnya.
Erni Larnain, 53, turut menyuarakan rasa kecewa dengan janji palsu kerajaan pimpinan Warisan.
“Kami sudah lama tunggu rumah… katanya peruntukan sudah ada untuk buat jambatan tapi kami tidak faham kenapa tidak buat. Kami ada simpan rakaman bukti yang mengatakan peruntukan sudah ada.
“Apa daya kami, mentang-mentang kami miskin… kalau mereka boleh merasa tinggal di sini… satu hari pun kami rasa mereka tidak sanggup,” luahnya.
Bagi
Saharon Siman, 50, dirinya amat berharap kerajaan mampu untuk membina
jambatan yang turut terbakar dahulu kerana jambatan tersebut mampu
menyelesaikan masalah rumah mereka.
“Saya harap sangat kerajaan bantu kami, terlalu siksa kami di sini. Cubalah duduk di sini baru mereka tahu dan faham siksa kami,” ujarnya.
Awang
Saidin Saharon, 55, hampir tidak mampu berkata-kata bagi meluahkan
kekecewaannya dengan janji yang pernah dibuat oleh kerajaan untuk
membantu mereka.
“Susah mahu cakap… terlalu siksa. Keadaan rumah amat teruk… tidak ada pemantauan. Janji Warisan hanya tinggal janji. Kalau boleh kami harapkan rumah, sekurang-kurangnya buatlah jambatan untuk mudah kami bina pondok,” ujarnya.
Seorang
lagi penghuni kontena, Basarah Basah, 35, turut melahirkan rasa kecewa
dengan sikap kerajaan pimpinan Warisan yang seakan tidak peduli dengan
nasib mereka.
“Kalau tidak mampu buat rumah, buatlah kami jambatan. Janganlah janji tinggal janji, kasihanilah kami,” ujarnya.
#Sumber : UMNO Online
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan