BN 30 kerusi, BERSATU 20, 23 lagi untuk parti gabungan lain
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sementara 20 kerusi sudah dipersetujui untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Sumber kedua-dua parti itu yang dihubungi memaklumkan, jumlah itu yang sudah diputuskan setakat kini, selebihnya masih dalam proses rundingan akhir, yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.
DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tanpa menjelaskan secara terperinci kerusi DUN yang ditandingi, sumber BN itu memaklumkan majoriti kerusi yang akan mereka tandingi adalah kawasan yang dimenangi dalam PRU-14.
"BN pertahankan kerusi yang mereka menang dalam PRU lalu. Cuma ada beberapa kerusi (yang menang) dilepaskan (kepada BERSATU)," katanya sambil memaklumkan sebahagian agihan kerusi yang masih belum selesai itu juga membabitkan parti lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ditanya sama ada jangkaan akan wujud pertembungan sesama sendiri jika rundingan di beberapa kerusi gagal, beliau tidak menolak ada kemungkinan itu, namun menegaskan ia hanya membabitkan jumlah yang terlalu kecil.
Sementara itu, sumber pemimpin BERSATU Sabah pula mengakui jumlah kerusi yang diterima mereka lebih kecil dan rundingan masih dijalankan untuk memperoleh beberapa lagi kerusi tambahan.
Secara asasnya, BERSATU Sabah dan UMNO bersetuju untuk kedua-duanya tidak bertembung sesama sendiri, namun mengakui ada sebilangan kerusi agak sukar untuk dirundingkan.
"Kerana masing-masing mahu kerusi itu, kami akan cuba 'fight' (lawan) lagi," katanya turut menjelaskan calon BERSATU juga akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.
Kemunculan BERSATU pada PRN kali ini menyebabkan UMNO terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang mereka tandingi dalam PRU lalu kepada calon BERSATU.
Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang di 21 kerusi, tewas di 24 kerusi DUN yang mereka tandingi.
DAP pula menang di enam kerusi daripada tujuh kerusi yang mereka tandingi, sementara PKR tewas di enam kerusi dan hanya menang dua kerusi DUN. STAR pula menang di dua kerusi, namun tewas di 16 lagi kerusi yang mereka tandingi, sementara Parti Cinta Sabah tewas di semua 18 kerusi yang mereka tandingi sebelum ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, memaklumkan kekal dengan pendirian untuk bertanding secara sendirian pada PRN Sabah tanpa menjalin kerjasama dengan mana-mana parti di negeri itu dan Semenanjung, biarpun ada usaha dari BN untuk meminta kedua-dua parti berunding.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan BN Sabah akan menampilkan tokoh baru anak tempatan dalam PRN hujung bulan ini.
"(Datuk Seri) Bung (Mokhtar Radin) dan BN Sabah sudah bersedia menampilkan tokoh-tokoh baru anak Sabah yang akan memperjuangkan kemajuan dan pembangunan Sabah," katanya.
Semalam, Bung yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Sabah memaklumkan, senarai calon UMNO Sabah sudah siap
kira-kira 90 peratus dan pengumumannya akan mula dibuat pada Selasa atau
Rabu ini.
MR : Harap kerjasama PN menjadi makin kukuh dan petunjuk untuk PRU-15
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan