Header Ads

ads header

Flash News

Hijrah Bukan Pelarian Yang Menyerah Kalah


أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ.
إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ ... ٤٠ [سورة الحج : 38 -40]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)> Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah... [Surah al-Haj : 38 – 40]

Ayat ini merupakan janji Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan orang-orang beriman di Mekah yang telah dibelasah dan diseksa selama 13 tahun. Mereka dijanjikan pertolongan oleh Allah SWT untuk diberi kemenangan dengan syarat mereka menunaikan syarat-syaratnya yang sebenarnya dan keimanan yang sebenar, setelah mereka diuji beberapa tahun kerana percaya kepada Allah SWT; ada yang dibunuh, ada yang cacat diseksa, ada yang disusahkan kehidupannya, ada yang ditawarkan harta benda, pangkat dan kemewahan, namun mereka tidak berganjak daripada iman dan Islam yang ikhlas di dalam hati mereka.

Seterusnya mereka diizinkan supaya melakukan hijrah; peristiwa yang diulangi peringatannya oelh umat Islam pada setiap tahun, peristiwa hijrah yang terkenal. Hijrah adalah perpindahan Nabi SAW mencari tempat bagi menegakkan Islam yang berdaulat dan menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Maka diambil langkah setelah tidak ada lagi peluang di Mekah, dicari tempat yang lain yang mengizinkan Islam itu ditegakkan.

Diambil peluang melalui kabilah-kabilah Arab yang datang ke Mekah menunaikan haji, menyempurnakan ibadat Nabi Ibrahim AS yang disanjung oleh mereka. Nabi Ibrahim AS disanjung oleh semua agama – Islam, Yahudi, Kristian dan Musyrikin. Nabi Ibrahim AS yang membuka dan merasmikan Mekah al-Mukarramah, mendirikan ka’abah sehingga Mekah menjadi kunjungan berbagai-bagai agama. Mereka berhimpun pada musim yang dikenali sebagai musim haji, memuliakan Mekah itu.

Peluang perhimpunan itu diambil oleh Rasulullah SAW untuk menemui pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan kabilah Arab, dengan syarat mereka menerima Islam, mereka sanggup berjihad, menyerahkan tanahair mereka untuk ditegakkan Islam, menghadapi segala musuh yang datang daripada segenap penjuru dunia. Hanya mereka yang sanggup menerima itu sahaja diterima untuk bersama dengannya. Pemimpin-pemimpin yang tidak mahu masuk Islam kerana mahukan pangkat dan kedudukan setelah Islam menang ditolak oleh Nabi SAW.

Pemimpin yang mengaku Islam adalah baik dan Islam adalah mulia, tetapi takut menghadapi musuh, ditangguhkan oleh Rasulullah SAW. Apabila pemimpin Madinah, Aus dan Khazraj yang menerima Islam dan sanggup menyerahkan tanahair mereka, mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka bagi menegakkan Islam, maka Nabi SAW menerima mereka. Lalu dilakukan bai’ah (janji setia) untuk berjuang dan menegakkan Islam itu. Bila mereka menerima syarat-syarat itu mereka sanggup menyerahkan tanahair mereka, maka Nabi SAW memerintahkan sahabat yang mampu berhijrah ke Madinah.

Sahabat-sahabat yang berada di Mekah berhijrah ke Madinah. Hanya yang beriman, yang percaya kepada janji Allah SWT dunia dan akhirat; janji di dunia kemenangan dan janji akhirat balasan syurga yang kekal abadi. Yang sanggup melakukan hijrah ini termasuklah mereka yang berhijrah ke Habashah, hijrah pertama dan kedua pulang semula ke Mekah dan pergi ke Madinah kerana menunaikan kewajipan hijrah.

Hijrah itu maknanya pergi ke tempat yang lebih kuat untuk mempertahankan Islam dan meneruskan perjuangan, bukan menjadi pelarian yang menyerah kalah. Hijrah dengan makna langkah untuk melangsungkan perjuangan, langkah ke belakang bukan melarikan diri, tetapi langkah ke belakang untuk menguatkan kedudukan, meneruskan perjuangan menegakkan Islam, sanggup menghadapi musuh-musuh yang datang daripada segenap penjuru. Inilah makna hijrah yang menjadi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, seterusnya melangsungkan cahaya Islam itu berkembang ke seluruh pelosok dunia.

اعوذ باللَّه من الشيطان الرجيم.
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢١٨ [سورة البقرة : ٢١٨]
(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Zakaria Dagang
MR : Puak PAN kata Hijrah ialah pelarian    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan