Header Ads

ads header

Flash News

Bicara kes saman Zakir Naik terhadap Ramasamy ditetapkan 22 Mac 2021


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan perbicaraan 2 kes saman fitnah, difailkan penceramah bebas Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, untuk berlangsung selama 5 hari bermula 22 Mac tahun depan.

Dua saman itu difailkan secara berasingan pada Oktober dan Disember 2019, atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh 22 hingga 26 Mac 2021 itu, semasa pengurusan kes hari ini dengan dihadiri peguam Akberdin Abdul Kader dan Meor Hafiz Salehan yang mewakili Naik, manakala peguam Lee Mei Xian bertindak bagi pihak Ramasamy.

Hakim turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penyataan saksi sebelum atau pada 1 Mac tahun depan, dan 13 Okt ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya untuk pihak-pihak terlibat memaklumkan perkembangan mengenai dokumen yang disediakan untuk perbicaraan.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Akberdin berkata sepatutnya 1 daripada kes saman itu didengar di mahkamah lain, namun dipindahkan ke mahkamah yang sama untuk dibicarakan secara bersama, kerana ia membabitkan defendan sama, iaitu Ramasamy.

“Seramai 5 orang saksi plaintif termasuk Naik, akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu,” katanya.

Pada 16 Okt 2019, Naik menyaman Ramasamy selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah mengaibkannya, yang dimuat naik di laman sosial dan berita antara 2016 dan 2019.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya apabila memanggil beliau (Naik) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan, dan defendan juga sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, pada 1 Okt 2017, di mana artikel mengenainya dimuat naik di laman Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.

Dakwanya, pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan kerajaan Kelantan, dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama, serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.

Naik mendakwa, kenyataan itu membawa maksud, seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan, serta keharmonian negara.

Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.

Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE.

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan