Header Ads

ads header

Flash News

Muhyiddin dibayangi Mahathir & Anwar


Pentadbiran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang baru bermula awal minggu lalu dijangka akan terus dibayangi dengan bekas penyandang jawatan itu, Dr Mahathir Mohamad, kata penganalisis politik.

Apatah lagi bekas perdana menteri itu kini berada di blok pembangkang, yang turut dianggotai oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, kata Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani.

"Nak tenggelamkan (pengaruh) Mahathir itu agak susah. Sebab, satunya Mahathir ada dipihak pembangkang dan satu lagi Anwar pun ada. Maksudnya ada dua tokoh yang sangat signifikan dalam politik Malaysia, yang dominan di pihak pembangkang.

"Dan sudah pastinya, apa sahaja yang dibuat oleh Muhyiddin akan dikritik oleh dua orang ini dan parti yang mereka wakili," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata ia adalah perkara biasa bagi mana-mana ahli politik ditambah lagi sekiranya pihak pembangkang terdiri dari kumpulan besar dan mempunyai pengaruh yang besar.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik Dr Jeniri Amir turut mengakui tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan pengaruh besar negarawan itu.

Jeniri Amir.

"Kita tidak boleh nafikan itu, Mahathir bukan sebarang tokoh dan pemimpin. Dia juga punya penyokong di luar dan walaupun jumlah anggota parlimen yang ada padanya sedikit sekarang, tetapi harus diakui bahawa ahli dan penyokong beliau masih ada di luar," katanya.

Kedua-dua penganalisis politik itu berkata demikian mengulas sejauh mana pengaruh Mahathir akan membayangi pentadbiran Muhyiddin.

Muhyiddin diangkat menjadi perdana menteri selepas membawa Bersatu keluar PH bagi membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama bekas ahli parlimen PKR, BN, PAS dan GPS.

Perlu kendali parti komponen PN

Ketika kemelut penjajaran politik yang digelar 'Langkah Sheraton' menyaksikan runtuhnya pentadbiran PH, Mahathir yang ketika itu merupakan perdana menteri sementara mencadangkan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, cadangannya itu tidak mendapat sokongan dari kebanyakan pihak termasuk dari kalangan pemimpin Bersatu sendiri. Ia sekali gus menyaksikan Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu dan seterusnya membentuk barisan kabinet baru pada Selasa.

Meskipun kebanyakan pemimpin Bersatu menyokong Muhyiddin, terdapat sekumpulan ahli dan pemimpin Bersatu setia dengan Mahathir.

Mengulas lanjut, Azizudin berkata Muhyiddin kini perlu lebih kuat dalam mengendalikan pentadbirannya bersama parti kompenan PN.

"Beliau (Muhyiddin) kena terima apa sahaja bentuk kritikan yang membina dia dan jangan lihat kritikan itu melemahkan dia. Kalau tidak, dia tidak akan mampu memimpin gabungan PN.

"PN pun ikatannya tak jelas lagi, dia tak macam PH sebelum ini sangat jelas. Tapi jelas sekali pun pecah juga.

"Inikan pula yang tak ada ikatan jelas ini orang kata apa pun boleh jadi. Jadi, dia (Muhyiddin) kena kuat. Dia kena kuat untuk pimpin PN dan dia juga kena kuat berdepan dengan dua orang besar PH. Kalau tidak runtuh," katanya.

Jeniri pula berkata usaha untuk melemahkan kepimpinan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu kini sedang giat dijalankan kepimpinan pembangkang.

"Dengan langkah beliau (Mahathir) untuk mengadakan jelajah bagi memberikan penjelasan tentang bagaimana kerajaan (PN) ini ditubuhkan dan juga dalam usaha melemahkan kedudukan Muhyiddin maka beliau akan lakukan apa saja.

"Jadi, saya jangkakan mereka akan gunakan pelbagai strategi untuk menghancurkan integriti dan kredibiliti kabinet sedia ada. Itu pendekatan yang akan digunakan oleh Mahathir dan 18 Mei ini mereka akan kemukakan undi tidak percaya kepada perdana menteri dengan dibantu parti sekutu yang lain, DAP, Amanah dan PKR," katanya.

Berdepan cabaran sukar

Azizudin juga turut membayangkan blok pembangkang akan mewujudkan kabinet bayangan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 18 Mei depan.

"Mungkin kita akan tengok keadaan baru yang muncul iaitu kabinet bayangan, orang yang sebelum ini memegang portfolio yang ada sekarang mungkin akan shadow menteri.

"Itu nanti kita boleh tengok senarionya di parlimen, sangat menarik. Yang mana kritikan daripada kabinet bayangan kepada kabinet sedia ada dan begitu juga sebelum ini yang tahu selok belok dan tahu perjalanan data kerajaan sebelum ini," katanya.

Manakala mengulas kedudukan semasa dan masa depan Bersatu, kedua-dua penganalisis politik berpandangan parti itu bakal berdepan cabaran sukar.

"Memang keadaan (Bersatu kini) sukar, ditambah lagi apabila ada dua kem (dalam Bersatu). Dan menariknya kedua-dua kem ini mempunyai parti gabungan sendiri, yang satu di pihak kerajaan dan satu lagi di pihak pembangkang.

Mohd Azizuddin Mohd Sani.

"Tak pernah jadi dekat Malaysia keadaan sebegitu dan ini yang pertama kali. Cuma realitinya kedudukan parti Bersatu itu sendiri sama ada mahu bergabung atau berpecah tidak boleh dijangkakan bagaimana.

"Mahathir pun tidak mahu berjumpa dengan Muhyiddin. Cuma jalan keluar kepada kemelut ini saya rasa kena adakan perbincangan.

"Kalau tidak ada pertemuan saya rasa sampai bila-bila pun ia tak akan selesai dan keadaan akan terus beginilah," tambah Azizuddin.

Kata Azizuddin sekiranya situasi itu berterusan, kemungkinan akan wujud parti baru dari serpihan Bersatu.

Peluang perdamaian

Mengulas peluang pendamaian dalam Bersatu, Azizuddin berkata peluang itu ada kerana dalam politik segalanya berkemungkinan.

Namun, katanya, sudah pasti ada syaratnya.

"Anwar pun boleh berbaik dengan Mahathir dan tidak ada siapa akan fikir benda itu boleh berlaku. Tapi walaupun baik, perasaan suka tak suka masih ada lagi. Tambah Muhyiddin ini pun Mahathir kata dia tikam belakang. Itu kritikan pedas tu.

"Cumanya, dia boleh baik semula tapi adalah syarat yang perlu diselesaikan.

"Mahathir pun siap cakapkan, boleh jumpa kalau dia (Muhyiddin) buang semua orang Umno yang korup, kleptokrat. Biasanya kalau dia (Mahathir) dah cakap itu, dia memang nak itulah," jelasnya.

Bagaimanapun, Azizuddin hampir pasti bahawa Muhyiddin tidak akan berbuat demikian, kerana menurutnya ia akan menumbangkan PN.

"Jadi, kena cari alternatif dan jalan penyelesaian lainlah kepada masalah ini dan itu pun saya tak tahu apa penyelesaian terbaik kepada kedua-dua pihak ini," tambahnya.



Sementara itu, kepimpinan Bersatu yang dihubungi Malaysiakini berkata kedua-dua kepimpinan tertinggi partinya itu punyai pengaruh tersendiri.

Menurut Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Rais Hussin, Mahathir dan Muhyiddin juga masing-masing punyai fungsi tersendiri.

"Biarlah keadaan tenang seketika dalam gelora politik dan sama-sama kita bina semula perhubungan yang baik di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

"Saya fikir majoriti atau kesemuanya dalam Bersatu dan pemimpin tertinggi parti, kita bertemu dengan suasana tenang dan membincangkan secara terus terang dan rendah hati dengan cara yang terbaik demi kepentingan parti, ahli, negara dan rakyat.

"Berbeza pandangan mesti diraikan dalam konteks parti dan kebanyakkan ahli mahu semua pemimpin rapatkan saf pemimpin tertinggi untuk kepentingan semua," jelasnya.

Bagi naib presiden, Abdul Rashid Ansari, Bersatu masih kekal bersatu dan perbalahan yang berlaku adalah perkara biasa.

"Parti Bersatu masih bersatu, perbalahan dalam parti adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

"Perdana menteri sedang berusaha untuk menyatukan semula kekusutan yang berlaku dan saya yakin dan percaya dengan usaha-usaha ini, Tun (Mahathir) akan kembali bersama perdana menteri dalam satu barisan Bersatu yang lebih kukuh dan bersepadu.

"Jika kita tumpukan kepada usaha pendamaian saya pasti akan ada sinar di hujung terowong dan tidak timbul soal pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain."Parti Bersatu sentiasa percaya kepada pepatah Melayu bersatu kita teguh bercerai kita roboh," kata Rashid.


MR :  Cabaran besar untuk PN kekal sehingga PRU-15


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Dua2 pemimpin pembangkang skg main giler. .Tapi ingat ye. .DAP tengah masuk jarum dan intai2 peluang..mantapkan PN terus mengurus negara dgn baik untuk rakyat yg dahagakan pembelaan sewajarnya.. rakyat dah muak gelagat berpolitik skg. .

    BalasPadam