Header Ads

ads header

Flash News

Yayasan Akalbudi tidak pernah diaudit


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Yayasan Akalbudi yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memfailkan Laporan Mesyuarat Tahunan (AGM) dan Laporan Audit Tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Setiausaha Syarikat Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-28, berkata beliau tidak dapat mengemaskini dokumen yayasan itu kerana tidak disertakan dengan dokumen lengkap.

Mahinder yang juga Pengarah MKSS Management iaitu sebuah lagi syarikat dimiliki Ahmad Zahid, berkata beliau mengenali Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sejak 1989 melalui seorang kenalan.

Beliau berkata, Ahmad Zahid melantiknya sebagai setiausaha syarikat yayasan berkenaan pada 2012 yang ditugaskan untuk mengemaskini dokumen yayasan itu bermula 2003.

Saksi itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata beliau bagaimanapun tidak dapat mengemaskini dokumen berkenaan.

“Ahmad Zahid tidak pernah memberikan saya dokumen yang lengkap walaupun saya meminta daripadanya berulang kali.

“Yayasan Akalbudi tidak pernah mengemukakan laporan kewangan kepada saya untuk difailkan kepada SSM.

“Ia juga tidak pernah melakukan audit terhadap akaunnya atau mengemukakan laporan audit kepada SSM,” katanya.

Mahinder berkata demikian pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi membabitkan jutaan ringgit yang dihadapi Ahmad Zahid.

Mahinder berkata, alamat berdaftar yayasan itu adalah seperti yang terdapat dalam ‘maklumat syarikat SSM Yayasan Akalbudi’, bagaimanapun beliau tidak mengetahui sama ada alamat itu wujud atau tidak.

Malah menurut saksi, beliau tidak menerima sebarang pertanyaan daripada SSM berhubung yayasan itu.

Sepanjang pengetahuannya, Mahinder berkata Yayasan Akalbudi tidak pernah mengadakan mesyuarat di antara Lembaga Pemegang Amanah dan sepanjang dilantik, beliau tidak pernah dimaklumkan berhubung aktivitinya.

“Dalam pengetahuan saya, Yayasan Akalbudi tidak pernah mengadakan AGM.

“Mengikut Akta Syarikat 1965, syarikat harus mengadakan AGM yang pertama dalam masa 18 bulan selepas didaftarkan, manakala AGM berikutnya hendaklah diadakan dalam masa tidak melebihi 15 bulan daripada AGM sebelumnya.

“Saya pernah beberapa kali memaklumkan kepada Ahmad Zahid mengenai AGM dan Laporan Audit Tahunan yang perlu difailkan kepada SSM dan beliau (Ahmad Zahid) beritahu akan memberikan dokumen itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya belum mendapat apa-apa dokumen berkaitan bagi mengemaskini dokumen yayasan,” katanya.

Sementara itu, saksi bekas pegawai Kementerian Kewangan memberitahu mahkamah, prestasi Datasonic Technologies Sdn Bhd didapati kurang memuaskan kerana sering lewat membekalkan polikarbonat, menyebabkan perkhidmatan Jabatan Imigresen (Imigresen) terjejas apabila bekalan terputus.

Bagaimanapun syarikat itu mendapat perolehan baharu bagi pembekalan cip pasport selama lima tahun pada 2016.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan (MOF), Dr Uzailee Abdul Latif, berkata perkara itu dinyatakan melalui surat maklum balas oleh Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Aziz Bin Md Nor kepada MOF pada 22 Ogos 2014.

Saksi itu berkata, surat berkenaan turut menyatakan KDN ingin mengekalkan kontrak sedia ada dengan syarikat Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) dan cip yang dibekalkan oleh syarikat IRIS berdasarkan prestasi cemerlang.

Uzailee berkata, kesimpulannya, KDN menyatakan bahawa ia tidak bercadang memperakukan syarikat itu (DTSB) bagi perolehan baharu.

"Kemudian, bermula Jun 2016, Imigresen mengalami masalah kekurangan bekalan Pasport Malaysia Antarabangsa... satu mesyuarat diadakan untuk membincangkan jalan penyelesaian mengenai pembekalan pasport untuk Imigresen oleh DTSB dan PKN pada 15 Ogos 2016.

"Melalui surat bertarikh 30 Ogos 2016, MOF meluluskan pelantikan DTSB untuk pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia kepada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan