10 Nama Syaitan dalam Surah Al Fatihah? Betul atau Salah?
Sebabnilah orang suruh belajar Al Quran secara berdepan dengan Ustaz, lutut berlaga lutut, tengok lidah dia betul- betul. Jangan terseru nama syaitan ni dalam sembahyang pula ! 🙁
Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita. Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud didalam Al-Fatihah, sekiranya kita tidak berhati-hati.
Nama syaitan
1] DU-LI-LAH (bila dibaca tiada sabdu) sebetulnya DU–LIL–LAH
2] HIR-ROB (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya HI–ROB
3] KIY-YAU (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KI–YAU
4] KAN-NAK (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KA–NAK
5] KAN-NAS (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KA–NAS
6] I-YA (disebut tanpa sabdu) sebetulnya IY–YA. Iya bermaksud ‘matahari’
Dalam ayat ke 5, Jika salah bacaannya akan bermaksud “kepada mataharilah yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan”!!!!
7] SIROTHOLLAZI…………. sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.
8] AMIN .hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA…dua harakat, MIN…. 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat Insya-Allah. semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya.
JAWAPAN DARI Dr. Amran Kasimin
Sebutan iblis dalam solat
Menyebut tentang syaitan, perlu rasanya dirujuk tulisan Raji al-Asmar dalam bukunya: Asy-Syayatin: Haqiqatuha, yang menyebut bahawa perkataan “iblis” disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali, manakala kalimah ‘syaitan’ itu disebut sebanyak 88 kali. Dalam buku ini diperturunkan ayat-ayat berkaitan yang menyebut nama-nama tersebut.
Keterangan ini membuktikan, mempercayai tentang kewujudan syaitan juga iblis itu adalah suatu yang termaktub dalam kalamullah. Ia bukan dongeng atau rekaan.
Walaupun demikian terlalu banyak telah direka oleh manusia mengenainya, termasuk namanya seperti toyol, hantu raya, langsuir, bajang dan lain-lain yang melahirkan pelbagai amalan bidaah dan khurafat. Dalam keadaan tertentu nama-nama elok disebut, seperti nama-nama wali, syeikh, embah, nenek, panglima hitam dan sebagainya, padahal apa yang disebut itu lebih merujuk kepada jin-jin.
Di dalam hadis-hadis juga tersebut perkataan “syaitan.” Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dijelaskan tentang syaitan yang mengganggu nabi ketika sedang sembahyang.
Dalam hadis lain dijelaskan tentang syaitan yang menyerupai seorang syeikh dari Najd yang masuk bersama himpunan orang-orang Quraisy yang diadakan di Darunnadwah, iaitu satu mesyuarat untuk membunuh nabi. Syaitan telah memberi nasihat bagaimana hendak membunuh baginda. Peristiwa itu berlaku sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.
Dalam peperangan Badar pun iblis telah datang mengetuai pasukan yang terdiri daripada syaitan, yang ada bersamanya bendera. Iblis menjelma menyerupai seorang lelaki daripada Bani Mudallij, manakala syaitan menyerupai rupa Suraqah bin Malik bin Ja’syam.
Dalam sebuah hadis yang ditakhrij oleh at-Turmizi dan an-Nasaiy daripada Aisyah, beliau berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan daripada golongan jin dan manusia telah lari daripada Omar. Dalam hadis daripada Hamnah Jahsy, beliau berkata, dia mengalami masalah darah haid yang keluar begitu banyak. Beliau memberitahu hal ini kepada Rasulullah. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia adalah satu sepakan daripada sepakan syaitan.
Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik pula menyatakan bahawa beliau telah mendengar baginda bersabda yang bermaksud: Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya.
Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, ia berkata bahawa beliau pada satu ketika duduk di sisi nabi. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang paling buruk mukanya, juga pakaiannya, manakala bajunya terlalu busuk. Dia datang melangkahi orang ramai sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah. Lelaki itu berkata: Siapa yang menjadikan langit. Baginda menjawab: Allah. Siapa yang menjadi Allah. Tanyanya lagi. Subahanallah jawab nabi. Lelaki tadi memegang dahinya lalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Ia berdiri lalu pergi. Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda: Ini adalah iblis, datang kepada kamu untuk menimbulkan syak terhadap agama kamu. Hadis-hadis yang tersebut di atas hanya menyebut kalimah “iblis” ataupun “syaitan” tanpa menyebut siapakah nama syaitan ataupun iblis yang terlibat dengan peristiwa-peristiwa tersebut.
Raji al-Asmar dalam bukunya Al-Jinn ada menyebut nama “Marid,” iaitu syaitan daripada golongan jin. Jin apabila ia kufur, zalim dan melampau dan melakukan kejahatan dinamakan “syaitan”.
Apabila makhluk ini berupaya menggangkat sesuatu yang berat dan mencuri pendengaran dinamakan “Marid”. Andainya makhluk ini mempunyai keupayaan lebih daripada itu dinamakan “Ifrit.”
Dalam buku yang sama muka sura. 51-53, Raji al-Asmar ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis, iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia. Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila, Aal-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa waswas, juga yang membisikkan telinga menyebabkan timbul waswas.
Nama jin lain yang disebut ialah At-Tabi’, ataupun Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, terdiri daripada lelaki dan perempuan, manakala Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat.
Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah. Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan.
Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali. Manakala “Khanzab” ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.
Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A’war, Masuth, Dasim dan Zalambur. Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah: A’war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina. Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri, manakala Zalambur menipu menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.
Nama-nama iblis dan syaitan yang termaktub dalam al-Quran juga daripada hadis-hadis serta fungsi masing-masing telah dijelaskan. Banyak lagi nama iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan jin, namun nama-nama seperti tertera iaitu du li lah, hir rob, kiyyau, kannak dan kannas tidak termasuk dalam nama-nama diperturunkan. Biarpun tidak mustahil andainya nama-nama yang terdapat dalam bacaan al-Fatihah yang cacat bacaan, namun setelah meneliti nama-nama yang dikatakan wujud dalam al-Fatihah yang salah bacaannya dirasakan hanya rekaan belaka, tanpa sumber yang utuh atau boleh dipertanggungjawabkan.
Hanya satu nama iaitu Kannas atau tersebut dalam al-Munjid, yang bermaksud sesuatu yang disapu oleh penyapu. Walaupun demikian kalau ia dieja sebagai “khannas,” ia adalah merujuk kepada nama syaitan yang menahan dan melambat-lambatkan seseorang untuk zikrullah.
Dalam kitab-kitab fikah, yang membicarakan tentang bacaan al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun sembahyang, nama-nama syaitan seperti didakwa langsung tidak disentuh.
Disebut bahawa orang yang bersembahyang mesti memelihara semua huruf al-Fatihah juga segala tasydidnya. Andainya tergugur satu huruf atau satu tasydid atau ditukar satu huruf al-Fatihah dengan huruf lain, ataupun rosak baris yang mengubahkan maknanya, maka tidak sahlah sembahyang yang dilakukan, andainya ia melakukan dengan sengaja dan ia ketahui mengubah maknanya.
Andainya keadaan ini berlaku dengan tidak sengaja, jahil dan tidak mengubah maknanya, maka tidak batallah sembahyang, tetapi hendaklah membacanya semula.
Implikasi daripada kandungan boleh menyebabkan timbulnya kesan buruk. Orang yang tinggi pengaruh gangguan sembahyangnya, yang mengambil wuduk melebihi kebiasaan, berulang kali mengangkat takbir ketika niat, mengulangi huruf-huruf kesamaran ketika membaca al-Fatihah dan sering lupakan rakaat sembahyang akan berasakan sembahyang itu satu penyeksaan.
Lebih teruk ialah orang yang lupakan bacaan sembahyang dan berasa terganggu sebaik masuk waktu sembahyang. Bagi orang seperti ini sembahyang merupakan sesuatu yang meragut kebahagiaan daripada ketenangan hidupnya. Sebaliknya, jika ia tidak sembahyang, keadaan seperti ini tidak timbul. Kerana itu berkemungkinan seseorang itu akan terus meninggalkan sembahyang.
Keadaan akan menjadi lebih parah apabila orang yang terganggu sembahyangnya menyedari adanya sebutan nama-nama iblis atau syaitan dalam bacaan al-Fatihah. Orang yang bermasalah membaca al-Fatihah memang selalu silap ketika membacanya terutama pada huruf kesamaran, pada tasydid dan sebagainya. Kerana itu akal fikirannya akan tertumpu bahawa apa yang disebut dalam al-Fatihah melibatkan sebutan nama-nama iblis dan syaitan. Kerana itu besar kemungkinan bahawa mereka tidak akan sembahyang langsung, kerana ia hanya akan menyebut nama-nama iblis dan syaitan dalam sembahyang yang didirikan.
Nama-nama yang disebutkan di atas tidak ada punca sandarannya. Sebenarnya kalau hendak dikeluarkan nama-nama dalam al-Fatihah, lalu didakwa sebagai nama syaitan, setiap kalimah itu boleh didakwa sebagai nama syaitan, kerana ia tidak ada punca sandarannya.
Persoalan remeh-temeh seperti ini hakikatnya tidak perlu ditonjolkan. Bagi pembaca pula, selain perlu merujuk kepada hukum, akal sendiri boleh memikiri tentang lojiknya. Terlalu banyak masalah di kalangan orang Islam yang masih belum selesai dan perlu diselesaikan. Jangan buang tenaga memikiri sesuatu yang tidak bermanfaat.
Dalam mempelajari ilmu fikah, termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan fardu ain, kita banyak didedahkan dengan tafsiran yang berlainan daripada pendapat ulama yang muktabar, tentang hukum halal dan haram, najis atau suci.
Sayangnya, dalam keadaan tertentu, pembaca seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dapat memahami pendapat yang mana sewajarnya diikuti.
Dan apabila timbul persoalan-persoalan yang membicarakan sah atau tidaknya sesuatu sembahyang yang dilakukan, termasuklah sebutan nama-nama jin dan syaitan seperti yang kemukakan, kecelaruan akan lebih ketara yang ada kalanya seumpama tidak ada jawapan. Sewajarnya persoalan-persoalan seperti ini bukan menjadi persoalan pokok yang perlu dihuraikan.
Penulis : Dr. Amran Kasimin
Sesungguhnya, tidak ada nama syaitan di dalam Al-Fatihah walaupun anda tersalah sebut. Jika anda salah sebut, ia adalah termasuk dalam bab kesalahan hukum tajwid.
MR : Banyak kali kita terkeliru dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa kita mendalami sesuatu dengan ilmu yang benar
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat
-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
❐ Sistem Mudah Untuk Anda Menjana Pendapatan Online Secara Sambilan
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat
-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
❐ Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
❐ MENCARI SESIAPA yang berminat niaga di shopee peluang raih pendapatan rm lumayan setiap hari lawati bit.ly/2A86ypP
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
myherb2u
BalasPadamPoho
BalasPadam