Header Ads

ads header

Flash News

PAS tak bertanding di Balakong, ahli bebas nak sokong atau tidak, MCA


GOMBAK: PAS tidak akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Balakong untuk memfokuskan usaha bagi memenangi kerusi Seri Setia, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ahli PAS bebas memilih mana-mana calon, termasuk calon MCA.

“MCA guna logo sendiri, ini percubaan mereka, mereka (ahli PAS) lebih tahu siapa mereka nak memilih,” katanya selepas mesyuarat bulanan PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, hari ini.

Kerusi Balakong kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menjangkakan Umno akan membantu calon PAS dalam PRK Seri Setia.

“Kita tengok muka dia (Umno) macam nak tolong.

“Kita harapkan mungkin apabila mereka tak turunkan calon…pengundi-pengundi Umno mengundi, tolong PAS.”

Pada 3 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan parti itu memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Seri Setia.

“Laluan tersebut sebagai timbal balik yang telah diberikan PAS dalam PRK DUN Sungai Kandis. Kita akan bersungguh-sungguh membantu PAS di sana, saya sendiri akan turun.”

Tuan Ibrahim yang juga pengarah PRK Seri Setia berkata, PAS akan mengumumkan calonnya pada 15 Ogos ini di markas utama parti itu di DUN berkenaan.

“PAS dah senarai pendek 3 calon, ada yang pernah bertanding pilihan raya umum lepas dan ada calon baru.”

Ditanya sama ada PAS membenarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak turun membantu kempen parti Islam itu di Seri Setia, Tuan Ibrahim enggan mengulas lanjut.

“Dalam PAS, kita ada beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh, bahkan petugas PAS sedang memahami situasi pengundi dan sensitiviti masyarakat setempat,” katanya dipercayai merujuk kepada kes mahkamah dihadapi Najib.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).

Hari penamaan calon PRK Balakong dan Seri Setia ditetapkan pada 18 Ogos ini, manakala hari mengundi pada 8 September nanti.

MR : Sikap politik PAS kini sukar difahami, tetapi apabila sudah lama masyarakat akan faham bagaimana eloknya politik matang dan sejahtera. Mereka akan faham bagaimana Islam memandu politik dalam masyarakat majmuk....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :



2 ulasan:

  1. Kalau dua penjuru, pertandingan di Balakong akan melibatkan 2 simbol iaitu simbol Bintang Biru dan simbol Illusimati. Pengundi tentunya lebih peka akan simbol mana satu yang berdiri atas kaki sendiri dan yang mana satu yang sekadar batu loncatan.

    BalasPadam
  2. 1. Bila ilusi mati, akal juga mati. Bila ilusi mati, nonagenarian yang cacat resumenya diangkat untuk menjaga peti besi.

    2. Bintang sepatutnya yang mempagari bulan, bukan bulan mempagari bintang. Bila bintang memencil diri ia pentingkan diri sendiri.

    Pilih, pilih.

    BalasPadam