Header Ads

ads header

Flash News

LHDN disiasat


KUALA LUMPUR: Kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pembayar berjumlah lebih RM14 bilion disiasat sebagai pecah amanah.

Semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk merungkai kes ‘kehilangan’ peruntukan dana cukai pendapatan terlebih bayar berjumlah RM14.56 bilion.

Antara yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangkan kepada 1,653,786 pembayar cukai itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mohd Irwan sepatutnya bertanggungjawab


Mohd Irwan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun di Kementerian Kewangan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana mencukupi menerusi Tabung Amanah Bayaran Balik Cukai (TBBC) seperti diperlukan LHDN bagi pembayaran balik.

Kekurangan peruntukan daripada pendapatan cukai langsung yang dikumpulkan ke TBBC dikenal pasti sebagai punca lambakan tunggakan bayaran balik cukai yang tinggi.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, ketika mengesahkan perkara itu berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mendedahkan satu lagi skandal penyelewengan wang pembayar cukai pendapatan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan terdahulu gagal menjelaskan lebihan bayaran balik cukai pendapatan dan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei lalu.

Katanya, lebih 1.6 juta pembayar cukai itu, termasuk syarikat, individu, persatuan dan yayasan, merangkumi rekod selama enam tahun lalu.

“Pemalsuan nilai dalam akaun dan penyelewengan bayaran balik cukai ini sama ada untuk tujuan tertentu atau sekadar menutup defisit sebenar demi memperlihatkan wujudnya keadaan lebihan akaun.

“Bayaran balik cukai hanya boleh dibuat menggunakan baki TBBC, namun semakan setakat 30 Mei 2018 berdasarkan laporan Jabatan Akauntan Negara mendapati ia hanya mempunyai RM1.486 bilion, sangat rendah jika dibandingkan dengan RM16.046 bilion yang diperlukan untuk proses berkenaan.

“Oleh itu, jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama,” katanya.

Persoalkan kesahihan

Sehubungan itu, Guan Eng, mempersoalkan kesahihan perangkaan hasil Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang bukan sekadar tidak tepat, malah terlebih lapor.

Susulan pendedahan itu, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai dengan kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan setoff sekiranya mereka mempunyai tunggakan cukai pada tahun semasa.

Berdasarkan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967, langkah itu hanya terpakai untuk taksiran tahun semasa.

Sementara itu, jurucakap LHDN berkata mekanisme off-set atau timbal balik ialah penyelesaian alternatif bayaran balik terhadap pembayar cukai yang mempunyai tuntutan dengan lembaga boleh memindahkan ‘kredit’ mereka kepada ahli keluarga yang mungkin mempunyai tunggakan cukai.

“Apa yang mereka perlu lakukan hanya failkan permohonan. Jika pembayar cukai tidak perlukan bayaran balik, mereka boleh memohon supaya ia (kredit) dijadikan timbal balik bagi taksiran akan datang,” katanya kepada NST.

Berdasarkan piagam pelanggan LHDN, bayaran balik (sekiranya wujud) untuk pengisytiharan cukai menerusi dalam talian dibuat dalam tempoh 30 hari. Ia memerlukan 90 hari jika dilaksanakan secara manual.

Cubaan untuk menghubungi Irwan dan beberapa ahli lembaga pengarah LHDN bagi mendapatkan reaksi gagal.

MR : Malaysia hari ini makin lawak, semua kena siasat akhirnya semua u-turn....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :



Tiada ulasan