Pemuda Umno Kedah desak Najib berundur
Pergerakan Pemuda Umno Kedah menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan presiden bagi menyelamatkan parti itu.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Najib harus mengambil tanggungjawab berikutan kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum ke-14 Rabu lalu.
"Pemuda Umno Kedah konsisten mempertahankan presiden sebelum ini, namun demi kelansungan parti pada masa hadapan kita mendesak supaya Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar mengosongkan jawatan beliau demi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih muda dan berupaya.
"Sudah nyata bahawa beliau (Najib) gagal mentadbir dan mempertahankan kuasa yang sudah kita pegang selama 60 tahun yang lalu," katanya dalam kenyataan seperti dilapor BH Online.
PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN berkubur apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen, selain hilang beberapa negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Terengganu.
Shaiful Hazizy berkata, Pemuda Umno Kedah menggesa agar proses peralihan kuasa dalam parti itu dilakukan segera kerana akar umbi masih setia dan menunggu arahan.
"Kita tidak sanggup lagi menanggung liabiliti peribadi ini. Parti harus bingkas bangun dan melaksanakan transformasi menyeluruh.
"Harus diingat rakyat sudah menghakimi kita, sudah tentunya kita perlu muhasabah diri dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan," katanya.
Menurutnya Pemuda Umno Kedah menerima kekalahan teruk BN, malah akur bahawa rakyat sudah membuat keputusan dan ahli serta kepimpinan parti perlu menerimanya dengan hati terbuka.
"Hakikatnya apabila rakyat sudah buat keputusan kita kena terima dan berharap kerajaan baharu ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik, berbanding kerajaan sebelum ini.
"Namun apa yang perlu kita lihat adalah keperluan untuk BN kembali melihat ke hadapan dan buat pembaharuan dengan lebih berkesan, pada masa sama menjadi pembangkang yang lebih hebat dan berbisa.
"Untuk itu kita memerlukan perubahan kepimpinan dan pendekatan. Umno dan BN tidak boleh berjaya dengan menggugat dengan sekadar mempunyai kepimpinan dan cara mengurus seperti yang kita ada hari ini," katanya.
......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Tiada ulasan